May 22, 2011

Hati. Lebur.

Assalamualaikum. Lama menyepikan diri. Sibuk. Alasan klise.

Tapi memang benar. Sibuk ‘berlari’. Banyak yang mahu dikongsi tapi ada saja yang harus didahulukan. Lalu cerita itu tertangguh. Disimpan saja dalam hati. Cukup sekadar menerawang dalam fikiran sendiri. Atau sesekali terbayang depan mata. Banyak cerita yang saya tinggalkan tanpa coretan. Bercampur aduk. Mahu menulis semua tapi waktu mula menaip ini pun fikiran masih ‘mengejar’ perkara lain.

Namun, hari ni, ada kisah yang buat saya mahu menulis. Tadi pagi. Ada orang peluk saya. Teman. Perempuan. Junior. Katanya lama tak ketemu. Terkesima. Bukan selalu kena peluk. Sejak ‘hidup’ di hospital, hati ni memang sengaja saya ‘keringkan’. Supaya lebih tega. Lebih kuat. Sebab Allah selalu temukan saya dengan kepayahan dahulu sebelum Dia permudahkan. Lalu, tiba-tiba dipeluk begitu oleh yang bukan keluarga buat saya tak terkata.

Dahulu, sewaktu posting di O&G, pernah juga sekali begitu. Dipeluk anak kecil. Anak patient sebenarnya. Ramah dia menegur saya walaupun belum betul-betul pandai bercakap. Setahun lebih mungkin umurnya. Dan saya melayan. Ketika mahu beredar untuk urusan lain, saya melutut di hadapan anak itu sambil menggosok kepalanya dan tanpa disangka, dia memeluk saya. Terasa penuh dua tangan milik si kecil itu di leher saya. Bahagia kan?

Dan dua momen itu tadi adalah antara momen-momen bahagia dalam hidup saya. Mungkin hanya perkara picisan bagi sesetengah orang. Tapi besar maknanya pada saya. Dipeluk begitu buat saya rasa segala masalah dalam hati saya lebur. Hilang sekejap. Tiga minggu ini terlalu banyak menuntut kesabaran dan kekuatan. Selalu cuba untuk positif tapi kadang-kadang tersasar juga. Mungkin hati belum cukup ikhlas menerima ujianNya. Adakalanya menyalahkan keadaan. Seolah-olah menyalahkan Dia. ‘Jauh hati’ denganNya. Lalu, tersedar. Dia Maha Mengetahui. Maha Penyayang. Siapalah saya mempersoalkan takdirNya.

Lalu, tadi saya buat kesimpulan. Mulai hari ini, saya mahu ingat yang bahagia saja. Mahu pandang yang bahagia itu. Mahu berpaut pada waktu itu saja. Sekurang-kurangnya momen itu, pernah jadi milik saya. Pernah buat hati ‘kering’ saya, lebur.

2 comments:

mahirah said...

same2 kiter berushe syudud! insyaAllah,sume bjaye nnt :)

NUR FARIZA UMAIRA said...

syud, skrg posting kt bhgn mana pulak??