Sewaktu cuti panjang sempena Tahun Baru Cina yang lepas, kami lima beradik semuanya pulang. Sudah lama tidak berkumpul sekeluarga. Dan, Rabu minggu lalu juga ke pantai bersama keluarga tercinta. Sudah lama tidak menjejak kaki di Pasir Lanun, Rompin itu. Punya sejarah tersendiri kerana dulu kerap ke sana.
Lalu, menjadi kesukaan apabila ke pantai. Merempuh ombak. Meninggalkan bekas tapak kaki di atas pasir. Sesekali apabila adik-adik melangkah di atas pasir, mengikut jejak tapak kaki mereka. Tapak kaki saya paling kecil. Adik bongsu sudah lebih tinggi dari saya. Semuanya sudah meningkat dewasa. Lalu, secara rasminya, saya menjadi yang paling kecil walaupun saya yang paling tua. Sudah bakal menginjak usia 24 tahun. Usia yang sepatutnya akal dan jiwa sudah matang.
Kami turut ditemani keluarga teman bonda. Penuh kuda perak ayah dengan adik-adik yang semuanya sudah besar-besar belaka. Kuda hitam bonda lagi satu tidak dibawa. Lalu, saya menaiki kuda hitam teman bonda untuk mengurangkan kesesakan kuda perak ayah. He he he.
Sepanjang perjalanan, teman bonda sesekali bercerita kisahnya di tempat itu. 10 tahun menetap di situ, mengajar, bertemu jodoh langsung terus bernikah dan berkeluarga, pastinya tempat itu menyimpan banyak kisah dan sejarah. Ketika perjalanan pulang, teman bonda mengajak ke sekolah yang pernah diajar beliau. Ayat pertama yang keluar ketika sampai di perkarangan sekolah, "Mana pokok kelapa KITA?". Saya yang mendengar sekadar tersenyum. Nostalgik dan romantik bukan?
Ketika melihat teman bonda dan suaminya mengimbau kenangan cinta mereka, terasa kuatnya tautan hati mereka dengan tempat itu. Lalu, entah kenapa, terlintas di hati, tanah seberang yang sudah hampir 2 tahun ditinggalkan itu. Ada rindu yang menjengah. Paling dirindui cuaca dinginnya. Juga rindu melihat mentari dari tingkap bilik. Makanan-makanannya; lumpia basah, nasi gila, beng-beng, ayam penyet, bebek jegek, tauhu sumedang (menjadi kegilaan walaupun sekadar tauhu goreng dan cili padi) dan macam-macam lagi. Bila mengenang begini, hati seakan-akan mahu terbang terus ke sana.
Walaupun hanya 3 tahun, daerah asing itu menyimpan banyak kenangan, lalu ianya amat dekat di hati. Tempat jatuh lagi dikenang, apa lagi tempat bermain. Terlalu banyak pengalaman yang ditimba. Belajar menjadi dewasa, mungkin. Andai diizinkanNya, saya juga mahu menyusuri kembali jalan-jalan kenangan itu. Manis untuk diingati semula.
Walaupun hanya 3 tahun, daerah asing itu menyimpan banyak kenangan, lalu ianya amat dekat di hati. Tempat jatuh lagi dikenang, apa lagi tempat bermain. Terlalu banyak pengalaman yang ditimba. Belajar menjadi dewasa, mungkin. Andai diizinkanNya, saya juga mahu menyusuri kembali jalan-jalan kenangan itu. Manis untuk diingati semula.
Berbanding sesama manusia, tempat-tempat itu lebih mengikat hati dan jiwa saya. Kenangan sesama manusia lazimnya luput ditelan masa. Tetapi tempat akan setia di situ. Tidak ke mana-mana. Justeru, mungkin kerana itu, saya jarang menjejaki sesiapa semula. Mungkin sebab itu juga, saya susah untuk keep in touch. Mungkin kerana itu juga, saya hanya sekadar mengenang. Kerana sayang andai manusia dalam realiti itu tidak sama, lalu kenangan lama yang sedia ada itu berubah warna. Cukuplah sekadar ingatan di masa lalu..
No comments:
Post a Comment